Pages

Thursday, August 12, 2010

Kisah Wanita Istimewa

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM 


BELIAU seorang ibu cekal dengan 42 orang anak. Walaupun daripada jumlah besar itu hanya tujuh sahaja anak kandungnya namun dia tidak pernah membezakan kasih kerana baginya anak itu permata yang amat bernilai. 

Inilah cebisan kisah pengalaman wanita istimewa Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi. 

Norlina yang menubuhkan Pernim sejak 2004 yang memberi perlindungan kepada anak-anak yatim, anak-anak kurang upaya dan berpenyakit HIV/AIDS pernah ditawarkan supaya menjual anak-anak jagaannya dengan harga ribuan ringgit. 

“Saya tidak akan sesekali menjual anak-anak di bawah jagaan saya walaupun ditawar RM1 juta,” katanya tegas. 

Negara pernah digemparkan dengan sindiket menjual bayi tidak lama dahulu dan dipercayai bayi-bayi ini yang berusia di antara enam hingga 18 bulan dijual pada harga antara RM5,000 ke RM18,000. 

Usaha murni Norlina turut mendedahkan beliau kepada sindiket serta orang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya. 

Katanya, dia pernah menerima beberapa panggilan daripada lelaki dan wanita serta pasangan suami isteri yang inginkan anak-anak di bawah jagaan di Pernim dengan tawaran harga ribuan ringgit. 

“Kejadian ini telah lama berlaku tetapi saya tidak akan sesekali menjual anak sendiri kerana naluri seorang ibu tidak akan sanggup jual anaknya. 

“Dengan rezeki Allah saya akan menjaga mereka sebaiknya dengan ilmu dunia dan akhirat,” ujarnya. 

Perbuatan itu mungkin didorong oleh faktor kemiskinan, pasangan yang tidak mempunyai anak, pegangan agama yang tidak kukuh dan penipuan orang tidak bertanggungjawab. 

“Saya telah mengabdikan diri untuk menjaga mereka selagi termampu. Saat memberi mereka makan, menjaga mereka ketika sakit dan bersolat bersama ialah saat yang indah dan tidak mampu dilupakan. 

“Saya kini menjadi ibu kepada 35 orang anak berusia satu hari hingga 14 tahun,” katanya. 

Bicara Norlina, kasih sayang serta pegangan agama yang kukuh akan menjadi sumber kekuatan kepada semua terutama menghindari terjebak dengan sindiket menjual bayi serta masalah sosial lain. 

Namun beliau khuatir sindiket dan pihak tidak bertanggungjawab tersebut akan menjadikan bayi atau kanak-kanak sebagai mangsa seks dan tenaga buruh. 

“Saya tidak ingin menoleh ke belakang lagi dan pada Disember ini jika diizinkan Allah akan menjelajah seluruh negara bersama anak saya untuk bertemu dengan keluarga mereka, 

“Saya ingin memberi kesedaran perlunya kasih sayang kepada anak tanpa mengira perbezaan dan bercerita pengalaman dilalui supaya menjadi iktibar kepada orang lain,” katanya. 

Norlina turut menceritakan pengalaman beliau menyelamatkan seorang ibu dan anak daripada menjadi mangsa sindiket penjualan bayi. 

“Kejadian itu berlaku pada September 2005 dan ia masih lagi segar dalam ingatan saya sebagai satu peristiwa yang amat mengejutkan serta menguji tahap insani.” 

“Waktu itu saya didatangi oleh seorang gadis yang berasal dari Pantai Timur bernama Zainab (bukan nama sebenar) di rumah Pernim di Cheras. 

“Zainab sedang mengandung dan bakal melahirkan anak dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi. Beliau datang sehelai sepinggang dan di sisinya turut terdapat telefon bimbit,” imbau beliau. 

Norlina melihat keadaan perwatakan serta tingkah laku Zainab kelihatan seperti seorang yang kurang siuman. 

“Sedih dengan keadaan beliau saya mempelawa Zainab untuk tinggal bersama sehingga anaknya dilahirkan. Dia mengangguk kepala tanda bersetuju, 

“Semasa menjaganya saya sering mendengar perbualan telefon antara dia beserta seorang lelaki yang tidak dikenali. Antara inti pati perbualan mereka ialah mahu menjual anak yang bakal dilahirkan Zainab dengan harga RM8,000,” ujarnya. 

Norlina yang terkejut dengan perbualan itu lantas bertanyakan kepada Zainab adakah dia ingin menjual anak tetapi ia dinafikan. 

“Namun semasa Zainab hampir bersalin dia melarikan diri dari rumah saya. Khuatir akan keadaannya saya menelefon beliau dan tidak berjawab. 

“Selepas berkali-kali menelefon akhirnya saya menerima panggilan telefon daripada Zainab memberitahu dia berada dalam kesakitan di sebuah hotel di ibu kota. 

“Saya lantas membuat laporan polis dan menjejak Zainab bersama suami dan rakan-rakan di hotel itu. Kami tiba di bilik hotel terbabit dan meminta supaya mereka di dalamnya membuka pintu,” katanya. 

Namun suami dan rakannya memecahkan pintu bilik hotel itu setelah gagal dibuka walaupun diketuk berkali-kali. Di dalam bilik hotel itu Zainab dalam keadaan separuh bogel berlumuran darah manakala bayi dilahirkannya dipegang seorang lelaki tidak dikenali. 

“Lantas kami serahkan lelaki tidak dikenali itu kepada pihak berwajib. Zainab serta anaknya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. 

Sindiket jual bayi memang licik 

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong ketika dihubungi memberitahu, sindrom jual anak bukan sahaja di kalangan warga tempatan malah rakyat asing. 

“Sepanjang aduan yang pernah saya terima membabitkan warga Myanmar dan Indonesia. Namun mereka sukar dikesan pihak berkuasa kerana modus operandi yang licik. 

“Mereka bermesra dengan warga tempatan dulu. Kemudian jika yang dikenali pasangan yang memerlukan anak mereka akan mula masuk jarum,” ujarnya. 

Akhirnya pasangan terbabit ditipu kerana wang telah habis dibelanjakan tetapi tidak juga mendapat anak. 

Beliau juga pernah menerima kes isteri kepada warga asing yang menjual anaknya kepada orang tempatan. Tetapi kemudian suaminya datang ke negara ini dan menuntut kembali. 

“Selain itu, terdapat sindiket beroperasi melalui laman web untuk jual bayi secara terbuka. Saya berharap pihak berwajib dapat pantau perkara ini sebelum menjadi serius,” ujarnya. 

Bicaranya lagi, mereka yang amat memerlukan anak boleh mencari saluran yang betul dengan mendaftar pada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan kerajaan.

1 comment:

  1. alllahuakbar . mulia nya hati puan ! allah akan murah kan rezeki puan . inshaalllah !

    ReplyDelete