Pages

Thursday, August 12, 2010

Program Famili Penyayang - Patut dipuji

JAY Jay dan Ning Baizura berduet lagu Erti Pertemuan pada Konsert Gala Famili Penyayang di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, malam Sabtu lalu.



TIDAK semua program televisyen (TV) realiti, berkonsepkan hiburan yang semata-mata mempertaruhkan bakat nyanyian dan lakonan para pesertanya.

Sebaliknya, banyak lagi program TV realiti lain yang lebih bermanfaat untuk diketengahkan bagi menimbulkan 1001 rasa keinsafan di hati para penonton.
Program Famili Penyayang terbitan Astro misalnya, patut dipuji kerana memaparkan ketabahan pesertanya melalui perit getir mengharungi kehidupan bersama keluarga masing-masing.
Kegetiran hidup itu telah ditayangkan oleh Astro sebanyak 12 episod mulai 2 Februari hingga 16 April lalu.
Sebanyak 12 peserta menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Famili Berjasa, Famili Tekad Cekal dan Famili Penyayang.
Malam Sabtu lalu, cebisan kisah hidup kesemua peserta itu pertontonkan kepada khalayak dalam program Konsert Gala Famili Penyayang.
Konsert yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang itu disiarkan secara langsung melalui Astro Ria dan Saluran 15.
Kira-kira 5,000 penonton menyaksikan konsert di Genting itu dan hampir setiap mereka kelihatan sebak malah menitiskan air mata di saat visual cebisan hidup peserta dipertontonkan.
Sama seperti program TV realiti lain, Famili Penyayang turut menggunakan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada para penonton untuk menentukan pemenangnya.
Selain undian SMS, penjurian turut dilakukan oleh enam juri iaitu Leela Mohd. Ali (selaku Ketua Juri), Datuk Ismail Noor, Datin Paduka Zahrida Ismail, Datuk Vincent Lowe, Dr. Balvinder Singh dan Stephen Doss.
Ketua Program Astro, Zainir Aminullah, tidak menafikan Famili Penyayang merupakan satu cabaran baru bagi Astro dalam menerbitkan satu program yang mampu meninggalkan kesan mendalam di hati para penontonnya.
``Kami cuba menampilkan satu lagi program yang berbeza dengan program-program realiti TV sedia ada melalui program Famili Penyayang.
``Kami rangkumkan unsur-unsur pengajaran, hiburan dan sebagainya menerusi program ini.
``Apa yang lebih penting ialah, mesej-mesej yang hendak kami salurkan melalui program ini sampai kepada matlamatnya,'' katanya pada sidang akhbar selepas Konsert Gala Famili Penyayang itu.
Ekoran sambutan program itu, Zainir tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama sekali lagi dengan Yayasan Budi Penyayang Malaysia untuk menganjurkan musim kedua program tersebut.
``Kalau diizinkan Tuhan program ini akan diteruskan, insya-Allah,'' kata Zainir lagi dalam nada yang positif.
Pada pertandingan itu, Norlina Alawi memenangi kategori Famili Berjasa, Fatimah Hussein memenangi kategori Famili Tekad Cekal dan kategori Famili Penyayang pula dimenangi oleh Aidros Mohammad.
Norlina dipilih kerana keazamannya menubuhkan Persatuan Anak-Anak Pesakit AIDS bagi menjaga kanak-kanak yang dijangkiti HIV dan mempunyai latar belakang menyayat hati.
Fatimah Hussein dipilih kerana ketabahannya sebagai ibu tunggal kepada sembilan anak dan membesarkan anak-anaknya hingga berjaya dalam hidup masing-masing.
Sementara Aidros Mohammad pula dipilih kerana tumpuan yang diberikan kepada anggota-anggota keluarganya untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama mereka.
Tiga pemenang terbabit memenangi pakej percutian empat hari tiga malam untuk enam orang ke London, United Kingdom bernilai RM30,000 dan wang tunai RM10,000 serta trofi bernilai RM300 setiap satu.
Sementara itu, sembilan lagi peserta memenangi pakej percutian ke Pulau Bali, Indonesia bernilai RM6,000 dan trofi bernilai RM200 setiap satu.
Tiga hadiah utama disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pada konsert itu, Genting Berhad menerusi Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay turut menyumbangkan RM700,000 kepada Yayasan Budi Penyayang Malaysia yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Endon Mahmood.
Bagi memeriahkan konsert itu, Noraniza Idris, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Hazami, Raihan, Jay Jay, Candy Cheah, Nora, Saleh Yaakob dan Zainal Abidin dijemput menghiburkan para penonton.
Kumpulan Sanggar Teater Fauziah Nawi juga melakonkan beberapa sketsa yang sesuai dengan kategori-kategori yang dipertandingkan pada malam itu.

No comments:

Post a Comment