Pages

Thursday, August 12, 2010

Cabaran Menjaga Anak HIV/IDS

Cabaran menjaga anak HIV/AIDS

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Norlina Alawi bersama anak-anak Pernim yang dikasihi umpama anak kandung sendiri.

TERASING dan terpinggir paling tepat bagi menggambarkan jiwa anak-anak yatim pesakit HIV/AIDS kerana terpaksa melayari kehidupan sebatang kara dalam usia yang terlalu muda.

Kebanyakan mereka lazimnya hidup dalam keadaan tidak terurus, tidak pasti bila waktu makan seterusnya apatah lagi hal penjagaan kebersihan mahupun kesihatan diri sendiri.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tanggapan prejudis masyarakat akibat kejahilan terhadap HIV dan AIDS sekali gus menjadikan golongan kanak-kanak berkenaan terus hidup terbiar, terpencil dan melarat ke akhir hayat.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi, sebahagian besar masyarakat gagal memahami situasi kanak-kanak berkenaan yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang untuk membebaskan mereka daripada belenggu perspektif negatif terhadap golongan itu.

Norlina, 37, berkata, ada di antara anak-anak HIV/AIDS terbiar yang tidak pernah gosok gigi, potong kuku dan memakai seluar dalam kerana dibiar hidup bergelandangan oleh penjaga masing-masing.

‘‘Oleh itu kami memahat ikatan kekeluargaan yang erat dalam diri setiap penghuni Pernim agar anak-anak pembawa HIV ini faham bertapa pentingnya menyayangi dan mengambil berat antara satu sama lain.

‘‘Perkara ini penting dalam usaha membina semula jati diri mereka dari segi rohani, akademik, mental dan fizikal yang sebelum ini tidak pernah diterapkan kepada mereka,’’ katanya yang mesra dengan panggilan ‘mama’ di kalangan anak-anak Pernim.

Menurut Norlina, setakat ini terdapat 50 orang mendapat perlindungan di Pernim termasuk bayi yang berusia dua minggu, gadis teraniaya (seperti mangsa rogol) dan ibu tunggal yang dirogol menantu.

Beliau menjelaskan, dia dan suami, Mejar Roslan Zakaria, 43, mengendalikan Pernim sebagai sebuah ‘keluarga besar’ yang dipimpin oleh ‘mama’ dan ‘papa’ (Roslan) dengan 50 orang ‘anak’ termasuk tujuh anak kandung mereka sendiri.

Kata Norlina lagi, anak-anak kandungnya berusia antara 6 hingga 17 tahun dijadikan sebagai contoh kepada ‘adik-beradik’ yang lain agar patuh kepada ajaran agama, di samping berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kurikulum.

Jelasnya, urusan harian termasuk penjagaan kesihatan anak-anak yang sakit dikendalikan secara bergotong royong oleh semua ‘ahli’ keluarga itu agar setiap orang diberi perhatian baik dari aspek perubatan, keperluan emosi mahupun pembelajaran.

Tambah beliau, kira-kira RM44,000 hingga RM50,000 diperlukan setiap bulan untuk menampung perbelanjaan anak-anak angkatnya termasuk makanan, ubat dan rawatan bagi yang mudah jatuh sakit.

‘‘Menjaga anak-anak HIV memang ada cabarannya tersendiri lebih-lebih lagi perlu menitik berat aspek kebersihan dan kesihatan mereka yang sentiasa terdedah kepada penyakit.

‘‘Mereka memerlukan penjagaan khas 24 jam sehari, perlu mengambil ubat apabila tiba masanya dan ada di antara anak-anak ini yang mengalami tekanan sosiol dan mental kesan kehidupan terbiar dahulu,’’ ujarnya.

Pada masa sama, Norlina bersyukur kerana usahanya turut dibantu oleh institusi pendidikan seperti Sekolah Menengah (SM) Pandan Mewah, SM Aminuddin Baki dan Sekolah Rendah (SK) Taman Muda yang memberi galakan kepada semua anak-anaknya untuk tidak berputus asa dalam mencapai keputusan cemerlang.

Beliau menghargai peranan guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah berkenaan dalam membantu anak-anak Pernim menjadi pelajar cemerlang dan individu bertanggung jawab.

Dalam usaha menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya membela nasib anak-anak yatim pembawa HIV, Pernim akan mengadakan program ‘Jalinan Kasih’ bermula 5 hingga 27 Disember ini.

Menerusi program itu, Norlina bersama 50 anak-anak Pernim akan menjelajah ke seluruh negara dan berkempen sambil meningkatkan pengetahuan umum terhadap perlunya perhatian terhadap mangsa AIDS terutama kanak-kanak.

6 comments:

  1. Assalamualaikum pn norlina..sy berhasrat besar utk sama2 membantu pn bersama2 menjaga anak2 angkat pn..boleh sy menjadi sukarela?

    ReplyDelete
  2. Klu datang perlis..datang la sekolah menengah vokasional arau.sya suka kanak2.blh Jed sukarela

    ReplyDelete
  3. Bagaimana jika sy ingin menjadi sukarelawan?

    ReplyDelete
  4. Bagaimana jika saya ingin menjadi sukarelawan?

    ReplyDelete
  5. Bagaimana jika saya ingin menjadi sukarelawan?

    ReplyDelete
  6. Bagaimana jika saya ingin menjadi sukarelawan?

    ReplyDelete